Monday, November 17, 2008

Jangan salahgunakan kebebasan pada masa cuti sekolah

ASSALAMUALAIKUM..HAI PEMBACA SEKALIAN...
Musim cuti sekolah telah pun bermula. Para pelajar sekolah rendah dan menengah mempunyai tempoh masa lebih daripada sebulan untuk berehat, beriadah dan melakukan kerja-kerja kegemaran mereka sebelum sesi persekolahan baru bermula Januari tahun depan. Sekurang-kurangnya sekarang, mereka yang masih berada dalam alam persekolahan adalah `bebas' daripada rutin harian masing-masing. Antaranya, pergi ke dan balik dari sekolah, mengulang kaji mata pelajaran dan terlibat dalam aktivititi luar bilik darjah. Namun, `kebebasan' itu janganlah disalahgunakan dan biar berpada-pada. Gunakan masa lapang yang ada untuk melakukan aktiviti-aktiviti bermanfaat untuk diri sendiri mahupun orang lain. Bagi para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun depan, mereka bolehlah membuat ulangkaji dari awal lagi. Jangan berlengah-lengah kerana masa itu adalah emas. Saat-saat yang berlalu tidak mungkin kembali. Pun begitu, nasihat tersebut bukan menyuruh adik-adik untuk menjadi ulat buku sepanjang masa. Keseimbangan masa untuk belajar, bersukan dan beriadah perlu ada. Libatkan diri dalam sukan kegemaran anda. Selain itu, sertai kem pelancongan berikutan jauh perjalanan, luas pengalaman. Pada hemat saya, ilmu itu datang daripada pelbagai sumber dan bukan melalui buku teks semata-mata. Pengamatan terhadap persekitaran baru menerusi panca indera kita membolehkan mereka memperolehi pengalaman baru. Atau hadir ke bengkel motivasi untuk mengobar-ngobarkan semula semangat belajar mereka kelak. Adik-adik yang ringan tulang turut boleh membantu ibu bapa, orang-orang tua dan saudara-mara di rumah. Ibu bapa yang penat bekerja di luar tentu berasa gembira apabila bebanan kerja di rumah dapat diringankan. Sementara itu, dalam adik-adik beriang-ria dengan kawan-kawan di luar rumah tanpa kawalan ibu bapa, elakkan kegiatan berbahaya seperti berenang di lombong atau sungai tanpa kawalan orang dewasa. Ini kerana, malang tidak berbau. Terimalah nasihat saya seada-adanya: jangan jadi anak yang umpama buah kepayang, dimakan pahit dibuang sayang (sesuatu yang sangat disayangi tetapi menyusahkan) kepada ibu bapa kita.

No comments: